Dalil
Sabda Rasulullah s.a.w melalui hadis Ibn Abbas r.a:
"Seorang lelaki tidak boleh berdua-duaan dengan wanita kecuali wanita itu bersama mahramnya."
(Riwayat al-Bukhari)
Berhubung dengan batasan aurat bakal isteri, jumhur ulama berpendapat, hanya dibolehkan melihat wajah dan kedua tangan hingga ke pergelangan. Al-Auza'i berpendapat, dibolehkan melihatnya kecuali aurat, Ibn Hazm berkata, boleh melihat bahagian depan dan belakang wanita itu.
Menurut Ibn Qayyim, terdapat salah satu riwayat Imam Ahmad yang membenarkan bakal suami melihat apa yang zahir daripada tubuh bakal isteri seperti leher, betis dan sebagainya. Pendapat ini dipersetujui oleh Ibn Qudaamah dan al-Hafiz Ibn Hajar r.h. (Tahziib al-Sunan, ms: 25 – 26, al-Mughni, jil: 7, ms: 454 dan Fath al-Baari, jil: 11, ms: 78).
Antara Pendapat Ulama Tentang Batasan Aurat Bakal Isteri
Menurut Imam Syafie
Tidak boleh melihat wanita yang ingin dikahwini tanpa menutup kepala (memakai hijab). Dia boleh melihat wajah dan tangan hingga ke pergelagan sama ada dengan keizinan atau tanpa keizinannya. (Al-Haawi al-Kabiir, jil: 9, ms: 34).
Menurut Imam al-Nawawi
Sunat melihat bakal isteri agar seorang lelaki itu tidak menyesal setelah berkahwin dengannya… dibolehkan melihat berkali-kali dengan izinnya atau tanpa keizinannya. Jika masih tidak berpuas hati, dia dibenarkan mengutus wanita lain untuk melihatnya dan menerangkan sifat-sifat wanita itu kepadanya. Wanita juga dikehendaki melihat bakal suami agar apa yang disukai oleh bakal suami, disukai juga oleh dirinya terhadap bakal suami itu. (Raudhah al-Tolibin dan 'Umdah al-Muftin, jil: 7, ms: 19 – 20)
Menurut Abu Hanifah
Dibolehkan melihat wajah, tangan dan kaki. (Bidayatul Mujtahid wa Nihaayatul Muqtasid, jil: 3, ms: 10)
Pendapat ini juga dipersetujui oleh Ibn Rushd.
Jumhur ulama membenarkan melihat wajah dan tangan kerana wajah merupakan sumber kecantikan seorang wanita dan tangan pula boleh menggambarkan tubuhnya sama ada langsing atau sebaliknya.
No comments:
Post a Comment