Monday, September 13, 2010

Akikah Dan bercukur Rambut

Menamakan anak yang baru lahir sering dilakukan seiring dengan amalan akikah dan juga mencukur rambut bayi

MAKNA AKIKAH

Dari Segi Bahasa:

Akikah bermaksud "memutus".


Dari Segi Syarak:

Bermaksud menyembelih kambing atau ternakan lain seperti unta, biri-biri dan kibas buat anak yang baru lahir khususnya pada hari ketujuh kelahirannya atau selewat-lewatnya sebelum anak itu baligh.

Seekor lembu atau kerbau boleh diakikahkan untuk 7 bahagian atau 7 orang. Bagi anak lelaki dianjurkan 2 bahagian tetapi memadai 1 bahagian jika tidak berkemampuan.

Antara hadis yang memperkatakan tentang akikah ini ialah:

Imam Bukhari meriwayatkan kepada Salman bin Amir al-Dhabi r.a. katanya:

Aku mendengan Rasulullah SAW bersabda:

"Bersama bayi itu akikahnya, maka tumpahkanlah darah untuknya dan tinggalkan daripada perkara yang menyakitkan (iaitu kekotoran dan najis)."

Terdapat juga hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan selainnya daripada Samrah r.a. katanya: Rasulullah SAW bersabda:

"Bayi itu tergadai (tergantung) oleh akikahnya, disembelihkan ia pada hari ketujuh, hari itu diberikan nama dan dicukur kepalanya."

Bagi Imam Malik r.a., akikah boleh dilakukan pada bila-bila masa seseorang itu mempunya kelapangan.

Rasulullah SAW menganjurkan supaya anak lelaki diakikahkan dengan dua ekor kambing atau seekor juga memadai (kibas, biri-biri dan sebagainya yang sempurna sifat dan syarat-syaratnya sedangkan anak perempuan memadai diakikahkan dengan seekor kambing sahaja.

1. Umur binatang sembelihan:

  • Unta berumur 5 tahun lebih.
  • Lembu / kerbau berumur 2 tahun lebih.
  • Kambing berumur 2 tahun atau telah bersalin gigi. Kibas berumur 1 tahun atau telah bersalin gigi.

2. Binatang sembelihan sihat dan tidak cacat.

3. Daging akikah dipotong mengikut sendinya dengan tidak memecahkan tulangnya sesuai dengan tujuan akikah itu sebagai "Fida" (mempertalikan ikatan antara diri anak dengan Allah SWT).

4. Disembelih atas nama anak yang dilahirkan.

5. Tidak boleh berkongsi misalnya beberapa orang berkongsi seekor kambing untuk mengakikahkan anak-anak mereka.

6. Sebaliknya berakikah dengan kambing, tetapi dibolehkan juga berakikah dengan, lembu, dan kerbau.

HUKUM DAGING AKIKAH

Daging binatang yang disembelih untuk akikah adalah sunat dibuat jamuan untuk juadah ahli keluarga, jiran tetangga dan saudara-mara terdekat.

Amalan Mencukur Rambut

Anjuran mencukur rambut bayi sempena majlis akikah ini mengandungi hikmah khususnya dari segi kesihatan. Menurut Ibn al-Qayyim, amalan ini akan meningkatkan tahap kesihatan anak tadi, membuka selaput kepala dan mempertajamkan daya penglihatan, pendengaran dan deria hidu.

HIKMAH BERAKIKAH

  1. Melahirkan rasa gembira atas kelahiran satu jiwa Muslim baru yang sujud menyembah Allah SWT di dunia.
  2. Mendekatkan diri anak itu kepada Allah atas akikah yang dilakukan.
  3. Mengukuhkan tali persaudaraan sesama Muslim apabila majlis akikah tersebut dihadiri oleh kaum keluarga, saudara-mara, dan jiran tetangga.
  4. Sebagai tebusan anak tersebut dapat memberikan syafaat kepada ibu bapanya.
  5. Menunjukkan tanda syukur kepada Allah SWT atas kurniaan-Nya.
  6. Menjauhkan anak tersebut daripada segala bahaya dan bencana.

"Sembelihkan binatang itu atas nama anak yang dilahirkan dan ucapkanlah:

'Dengan nama Allah, ya Allah, bagi-Mu dan kepada-Mu kupersembahkan akikah si Fulan atau si Fulanah ini.'"

(Hadis riwayat al-Baihaqi)

No comments:

back to top Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...